Pasukan pilihan juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke separuh akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 dengan penuh bergaya apabila membelasah Sabah 9-0 di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, sebentar tadi.

Pesta jaringan tersebut sekali gus melengkapkan agregat 21-0 dicatatkan oleh anak buah Juan Antonio Miguel Garcia atau lebih mesra dengan panggilan Juanito itu bagi menempah pertemuan dengan Selangor TOT United.

Meskipun sudah memiliki kelebihan 12 gol ekoran kemenangan besar dilakarkan di Kota Kinabalu tempoh hari, JDT jelas tidak memandang mudah perlawanan malam ini.

Hal ini kerana Juanito membariskan sebahagian besar pemain utamanya seperti Awalluddin Mat Nawi, Ekmal Shahrin, Azri Rahman, Firdaus Ambiah, Abu Haniffa Hassan serta dua pemain import iaitu Caio Cesar dan Tanatul Tadavirot.

Beraksi di laman sendiri, JDT tidak menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pendahuluan menerusi Ekmal Shahrin seawal minit keenam.

Seminit kemudian, Azri Rahman pula meletakkan nama selaku penjaring dan Awalludin turut menemui sentuhan jaringan pada minit ke-10.

Ekmal dan Azri kemudiannya masing-masing menambah satu lagi jaringan pantas di minit ke-13 serta 15 untuk kedudukan 5-0 pada separuh masa pertama.

Empat lagi jaringan ditambah JDT menerusi Danial Dain (minit ke-29), Abu Haniffa berselang seminit kemudian serta hatrik daripada Azri pada minit ke-38 manakala satu lagi gol terhasil susulan jaringan sendiri pemain Sabah, Mardi Makmur.

JDT akan berkunjung ke Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada 24 Julai ini bagi menghadapi aksi separuh akhir pertama.

Sementara itu dalam aksi berlainan menayksikan Selangor MAC tidak berdepan masalah untuk menewaskan Terengganu 5-1 di Shah Alam untuk menang dengan agregat 9-2.

Juara dua edisi berturut-turut itu akan menghadapi satu lagi pasukan pilihan, Pahang Rangers yang menewaskan Shah Alam Citu dengan agregat 9-2.